Latest News

Hasrat Tuntut 1 Juta Gagal

Hasrat penyanyi Awie untuk menuntut RM1 juta daripada isterinya, Rozana Misbun gagal apabila permohonannya untuk mengenepikan perintah interim hadhanah secara ex-parte terhadap tiga anak mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Isnin.

Bukan sahaja gagal mendapat wang berkenaan malah keinginan Awie untuk mendapatkan semula hak jagaan sementara ketiga-tiga anak itu yang diperoleh Rozana sebelum ini turut gagal.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, selaku pemohon dalam tuntutannya mahu pihak responden iaitu Rozana menanggung kos atau membayar ganti rugi kepadanya berdasarkan dakwaan fakta-fakta tidak benar dalam tuntutan balas berhubung hak penjagaan anak-anak mereka.

Keputusan mengekalkan hak penjagaan sementara kepada Rozana dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini iaitu Muhammad Fateh Saleh.

Terdahulu, Rozana, 36, mendapat hak penjagaan sementara anak-anak mereka pada 27 Januari lalu sebelum Awie memfailkan interlokutori untuk mengenepikan perintah ex-parte pada 12 Februari lalu.

Anak-anak berkenaan adalah Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.

Penyataan afidavit dikemukakan oleh Rozana menerusi peguam syarie, Jamal Mohd Lokman Sulaiman.

Sementara itu, Rozana ketika ditemui berkata, dia bersyukur dengan keputusan mahkamah mengekalkan hak penjagaan anak-anak mereka kepadanya.

Bagaimanapun dia agak terkilan apabila Awie engkar arahan mahkamah kerana anak sulungnya, Putra Ahmad Merrah yang berusia lapan tahun masih dalam jagaan penyanyi itu dan tidak diserahkan kepada Rozana. Namun dia berharap dapat disatukan semula.

"Alhamdulillah sahaja yang mampu saya ucapkan ketika ini apabila mahkamah mengekalkan hak penjagaan sementara itu kepada saya.

"Saya yang melahirkan mereka dan tiada kata dapat digambarkan perasaan saya biarpun Merrah tidak bersama saya," katanya.

Tambah Rozana, dia turut kecewa dengan sikap suaminya itu yang sedikit pun tidak berusaha untuk mendaftarkan perkahwinan mereka mengikut undang-undang negara ini.

Dalam perkembangan sama, Rozana berkata, keputusan itu akan terus kekal sehingga perbicaraan dan keputusan berhubung hak penjagaan kekal anak-anak mereka didengar pada 5 Mei depan.

Sementara itu Rozana berkata, keputusan mahkamah yang berpihak kepadanya itu adalah hadiah cukup bermakna kepada dia yang berkongsi hari jadi anaknya, Puteri Qasseh Antasha yang diraikan pada Ahad lalu.

Majlis hari jadi berkenaan dilakukan secara sederhana dengan dihadiri ahli keluarga sahaja.

Awie dan Rozana berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 20 Jun 2005.

YOUR BLOG TITLE Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.