Latest News

CITA CITATA GOYANG DUMANG AT KOTA KINABALU

Selepas menghiburkan peminatnya di Sabah Julai lalu, penyanyi dangdut terkenal Indonesia Cita Citata sekali lagi ‘bergoyang dumang’ bersama peminat setianya di Negeri Di Bawah Bayu itu sempena program An Evening With Cita Citata di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Program anjuran Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora) itu dihadiri lebih 300 penonton yang rata-ratanya peminat setia penyanyi dangdut terbabit.
Hadir sama, Presiden Samora, Datuk Jelani Hamdan.


Kemunculan Cita disambut dengan sorakan penonton apabila dia menyanyikan lagu Aku Mah Apa Tuh, selain mengajak penonton untuk menari bersama.

Tidak cukup dengan itu, penonton turut memenuhi kawasan hadapan pentas dan tidak melepaskan peluang merakam gambar aksi lincah penyanyi itu.

Penyanyi berusia 21 tahun itu terus menghiburkan penonton dengan beberapa lagu antaranya Jarak Pulang dan Pernikahan Dini.

Lebih meriah apabila Cita turut mengajak penonton menari bersama di pentas dengan menyanyikan lagu Perawan Atau Janda.

Selain itu, Cita turut mempersembahkan lagu-lagu popularnya seperti Kau Tercipta Untukmu, Sakitnya Tuh Di Sini dan Goyang Dumang.

 

Kehadiran gadis kelahiran Indonesia itu ke Sabah adalah sebahagian daripada pengisian untuk promosi Pesta Magahau yang juga perayaan terbesar suku kaum Rungus di negeri itu.

Cita ketika ditemui teruja dengan sambutan peminat­nya di Sabah selepas kali pertama mengadakan konsert di Kudat, Julai lalu.

“Saya juga gembira apabila kebanyakan yang hadir begitu minat sekali lagu Sakitnya Tuh Di Sini dan Goyang Dumang. Saya harap sokongan mereka berterusan sampai bila-bila,”katanya.

Dalam pada itu, Jelani berkata, kehadiran Cita ke Sabah bagi mempromosikan kebudayaan kaum Rungus kepada masyarakat khususnya di negara luar.

“Sebelum ini, Cita datang ke Kudat dan dia turut mempromosikan kawasan di utara Sabah menerusi laman sosial miliknya kepada peminatnya di Indonesia dan negara lain.

“Sekurang-kurangnya Cita turut membantu kita mencapai objektif untuk mempromosikan kaum Ru­ngus ke peringkat lebih jauh,” katanya.

YOUR BLOG TITLE Copyright © 2014

Theme images by Bim. Powered by Blogger.